Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri tersebut mempunyai potensi yang besar untuk diketengahkan di peringkat global.

Menurut beliau, para pemain industri berkenaan juga berjaya menghasilkan karya yang membanggakan walaupun berdepan kekangan dari segi dana.

“Kerajaan akan terus memberi dokongan kepada industri filem animasi tempatan.

“Saya juga berharap Perbadanan Filem Nasional (Finas) akan menyalurkan lebih banyak dana kepada penggiat industri filem animasi di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Gala Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng di Mutiara Damansara dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh serta Timbalan Menteri Pelanco­ngan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Filem animasi Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng yang diterbitkan melalui usahasama Les Copaque Production dan KRU Studios itu akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 24 November ini.

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada penerbit Upin & Ipin atas kejayaan siri animasi berkenaan menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya dimaklumkan Disney Channel juga menyiarkan siri animasi Upin & Ipin,” jelasnya.