Palanivel, yang melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri India Narendra Modi hari ini berkata: "Kita perlu menyuntik dinamisme dan dimensi baharu kepada hubungan ini."

"Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 2015 dan kami sedang menimbang untuk bekerjasama rapat dengan India dalam platform ini juga," katanya kepada Bernama selepas pertemuan 30 minit dengan Modi, di sini hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India, Datuk Naimun Ashakli Mohammad.

Beliau berkata, India dan Malaysia berpotensi untuk terus memperluaskan dagangan dua hala antara kedua-dua negara dan ia seharusnya diusahakan dengan lebih giat.

Dagangan dua hala antara India dan Malaysia berjumlah AS$13.4 bilion pada 2013. Sasaran itu dianggarkan mencecah AS$20 bilion menjelang 2015.

Antara lain, Palanivel berkata, beliau memaklumkan kepada Modi bahawa Malaysia berminat mendapatkan lebih banyak projek infrastruktur impak tinggi di India di samping menarik lebih banyak syarikat India untuk melabur di Malaysia.

"Saya turut mengucapkan terima kasih kepada beliau atas penyertaan India dalam misi mencari dan menyelamat Malaysia Airlines pesawat MH370 di Lautan Hindi," katanya.

Palanivel berkata, beliau turut menyampaikan jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Modi untuk melawat Malaysia. - BERNAMA