Menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara itu dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi kepada beliau dalam pertemuan di kediaman rasminya lewat petang semalam.

“Modi memuji peranan Malaysia yang mengambil langkah proaktif dalam isu antarabangsa dan pembanterasan keganasan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke negara ini.

Menurutnya, Modi juga kagum dengan pengalaman lalu Malaysia dalam mewujudkan modul deradikalisasi dan undang-undang pencegahan keganasan.

Ahmad Zahid berkata, Modi mengakui hakikat walaupun secara relatifnya kecil, Malaysia telah memberi sumbangan besar dalam usaha membanteras keganasan.

“Modi juga terima jemputan saya agar pihak yang terlibat dalam deradikalisasi dihantar ke Malaysia selama tiga atau empat bulan untuk mempelajari program itu,” katanya.

Dalam pertemuan kira-kira 45 minit itu, beliau berkata, Modi turut meminta Malaysia memainkan peranan menganjurkan persidangan di peringkat rakan dia­log ASEAN dalam membanteras kega­nasan dan memperkenalkan sistem pendidikan Islam di Malaysia yang tidak mengabaikan bidang akademik.

Katanya, Modi turut berkongsi pengalaman negara itu dalam menangani 200 juta rakyatnya yang merupakan penganut Islam dan pembelajaran madrasah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Modi juga mahu ulama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India terlibat dalam persidangan ulama dan umarak yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setiap tahun.

Ahmad Zahid berkata, Modi juga akan mengambil maklum 10 perkara yang ditimbulkan beliau sepanjang lawatan tiga hari ke negara ini antaranya melibatkan pertukaran maklumat jenayah, membanteras keganasan, kerjasama ekonomi, pelancongan dan pendidikan.

Menurutnya,kekaguman Modi terhadap Malaysia adalah hasil daripada dasar kese­der­hanaan yang dijuarai oleh Malaysia selama ini.

Beliau yang tiba di negara ini Ahad lalu akan meneruskan lawatan kerja dua hari ke Sri Lanka bermula esok. – UTUSAN