Domain Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian mencatatkan skor domain terting­gi daripada lapan domain yang terdapat dalam IKK 2016 iaitu 8.04, yang dikategorikan dalam tahap tinggi, katanya.

Ia diikuti oleh domain Kese­lamatan Keluarga (7.96), Hubung­an Kekeluargaan (7.90), Keluarga dan Keterlibatan Komuniti (7.84), Kesihatan Keluarga (7.18), Ekonomi Keluarga (7.05), Keluarga dan Teknologi Komunikasi (6.38), dan Perumahan dan Persekitaran (6.24), katanya.

“Penghasilan IKK setiap tiga hingga lima tahun perlu dilaksanakan supaya ia dapat dijadikan panduan dan input penting kepada para penggubal dasar, peran­cang dan pengurus program untuk menilai sejauh mana tahap kesejahtera­an hidup keluarga di Malaysia dan membentuk strategi yang lebih efektif dan program yang tepat kepada sasarannya,” katanya.

Rohani berkata demikian dalam majlis pelancaran Laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016 yang diadakan di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini hari ini.

IKK 2016 yang bertujuan untuk memantau kesejahteraan keluarga Malaysia dibangunkan dengan penambahbaikan dan pengemaskinian terhadap domain dan indikator.

Rohani berkata, tindakan dan langkah yang bersesuaian ke atas setiap domain dan indikator dalam IKK 2016 perlu direncanakan dengan baik oleh semua pihak supaya pencapaian indeks pada masa akan datang dapat dipertingkatkan.

Bagi meningkatkan Indeks Kesejahteraan Keluarga yang kini berada pada tahap sederhana, Rohani berkata, kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) bagi 14 komuniti terpilih di seluruh negara bermula tahun lepas.

“Program yang dibentuk berasaskan Domain dan Indikator IKK 2016 ini perlu diperluaskan lagi di komuniti-komuniti lain. Kita akan bekerjasama dengan agensi dan komuniti yang lain dalam usaha melaksanakan program FACE ini supaya kesejahteraan keluarga tercapai,” katanya. – BERNAMA