Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd. Razi Ismail (gambar) berkata, ia bertujuan mengelakkan industri padi di negara ini terkesan dengan penularan wabak penyakit baharu yang dibawa oleh benih padi dari luar negara berkenaan.

“Kalau nak bawa masuk, kenalah ikut garis yang telah ditetapkan kerajaan iaitu melepasi pemeriksaan serta kuarantin. Selain Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga menekankan perkara yang serupa.

“Kita sebagai penyelidik pun turut melalui proses yang ketat untuk membuat kajian berkenaan benih serta tumbuhan seperti ini, jadi mereka yang berkaitan juga wajar mengikut langkah sama. Jika mereka ingkar, mungkin mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Kluster Pertanian dan Makanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr. Ghizan Saleh berkata, benih padi yang dibawa masuk atau dibawa keluar dari negara ini seharusnya melepasi proses Fitosanitari bagi mengelakkan tanaman padi lain terdedah dengan pelbagai penyakit.

Menurut beliau, jika benar benih padi jenis Black Madras dibawa masuk tanpa kebenaran pihak berkuasa, mungkin hal itu menjadi kebimbangan kepada petani lebih-lebih lagi kebanyakan tanaman mereka terbantut akibat penyakit bawaan serangga, fungus serta spora.

“Penyebaran penyakit padi itu juga boleh dikaitkan dengan faktor angin kerana pendebungaannya secara sendiri dan tidak boleh dipindahkan dari satu pokok ke pokok yang lain secara fizikal. Situasi berkenaan akan menjadi pemangkin kepada proses penularan penyakit dari satu pokok ke pokok yang berhampiran.

“Kalau tidak ikut prosedur, tanaman tempatan lebih berpotensi terdedah dengan pelbagai penyakit yang boleh membantutkan fizikal padi seperti merah virus, hawar daun bakteria serta karah padi” katanya.

Semalam, Jabatan Pertanian Negeri Perlis membongkar kegiatan penanaman padi Black Madras, sejenis padi asing berwarna hitam yang dikatakan dari Korea, yang ditanam secara haram di Tambun Tulang dekat sini.