ANTARA PATI yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Selangor dalam serbuan di dua buah lokasi di sekitar Padang Jawa dan Kota Kemuning di sini semalam. - UTUSAN ONLINE

Dalam serbuan selama lima jam bermula kira-kira pukul 12 tengah malam itu dijalankan di sekitar Padang Jawa dan Kota Kemuning.

Kesemua 97 PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal, Pakistan, India, Vietnam dan Myanmar.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Mohamad Shukri Nawi berkata, pihaknya menerima aduan awam mengatakan terdapat lambakan warga asing di kawasan tersebut.

"Kita telah menjalankan risikan selama beberapa minggu dan dalam serbuan pertama di kawasan penempatan warga asing di sekitar Padang Jawa, kita telah memeriksa 65 warga asing. Hasil pemeriksaan menahan 41 individu atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Manakala, dalam serbuan kedua merupakan di rumah kongsi di Kota Kemuning seramai 365 orang warga asing telah diperiksa dan menahan 56 individu. Kesemua yang ditahan terdiri daripada 94 orang lelaki dan tiga wanita

berusia lingkungan empat bulan hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Shukri, ketika serbuan dijalankan terdapat beberapa individu yang cuba melarikan diri dan bersembunyi daripada pihak berkuasa.

"Namun, tindakan tersebut hanya sia-sia kerana kawasan tersebut dikepung dan pemeriksaan dilakukan di setiap sudut.

"Kesemua PATI dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor dan sebelum dihantar ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tamat tempoh pas. - UTUSAN ONLINE