Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali menegaskan, jika dikesan individu-individu berke­naan cuba memasuki negara untuk menyertai acara itu, mereka akan diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1559/63.

“Tindakan ini diambil selaras dengan arahan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.
“Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan agensi penguat ku­asa yang lain bagi mengesan dan memastikan individu-individu ini tidak memasuki negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, pihaknya dengan tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa gejala tidak sihat dan tidak bermoral.

Katanya lagi, perkara itu merangkumi perbuatan yang boleh me­ngancam ketenteraman awam, kese­lamatan dan kedaulatan negara ini.

“Untuk makluman dari 1 Januari sehingga 30 Jun ini, sebanyak 46,551 individu telah ditolak kemasukan ke negara ini (NTL) di atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan penganjuran parti muzik gay, White Party BKK Warm Up yang dirancang diadakan di Rooftop Gtower, Kuala Lumpur pada 30 September ini.

Beliau merangkap Menteri Dalam Negeri berkata, acara itu bukan sahaja bertentangan dengan norma-norma manusia biasa tetapi boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan membawa ancaman terhadap keamanan negara.