Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Imigresen ikut prosedur tolak kemasukan warga Taiwan

Imigresen ikut prosedur tolak kemasukan warga Taiwan
MUSTAFAR

PUTRAJAYA 18 Mac - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengikut prosedur apabila menolak kemasukan warga Taiwan Yu Ya Chien ke Malaysia kerana memiliki pasport yang rosak, kata Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali.

Ya Chien yang memiliki pasport bernombor 303103544 tiba di Malaysia pada 10 malam 9 Mac dari Taipei dengan menaiki pesawat AirAsia D7373 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Beliau ditolak kemasukannya oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia atas sebab memiliki pasport atau dokumen yang telah rosak dan dikoyak," katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung dakwaan wanita itu yang mengalami pengalaman pahir akibat ditahan pegawai imigresen di klia2.

Mengikut prosedur di bawah 'not to land' (NTL), subjek yang telah ditolak kemasukannya akan diserahkan kepada syarikat penerbangan yang sama untuk proses penghantaran pulang ke negara asalnya berdasarkan prinsip 'first available flight' di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/63, kata Mustafar.

"Seterusnya segala urusan berkaitan dengan individu yang ditolak kemasukan tersebut adalah di bawah tanggungjawab pihak syarikat penerbangan. Urusan ini termasuklah dari segi kebajikan dan makan minum mereka," katanya.

Menurut Mustafar, sementara menunggu pihak syarikat penerbangan menghantar pulang individu berkenaan, dia akan ditempatkan di ruang menunggu sementara klia2.

"Secara puratanya, seseorang individu yang ditolak kemasukan mereka akan menunggu dalam tempoh masa dua hingga tiga hari sementara menunggu penerbangan pulang ke negara di mana destinasi terakhir individu tersebut berlepas," katanya.

Beliau telah dihantar pulang pada 11 Mac ke Taipei pada 9.20 pagi menaiki pesawat AirAsia D 7372, katanya.

Mustafar berkata, proses penerimaan individu yang telah ditolak kemasukan melibatkan penyerahan alat elektronik termasuk telefon bimbit kepada pegawai imigresen yang bertugas di bilik menunggu sementara klia2, sementara menunggu untuk dihantar pulang.

Barang-barang berharga lain seperti wang, barang kemas dan barang pengenalan diri yang lain adalah di bawah tanggungjawab individu itu sendiri, katanya.

Individu tersebut juga diminta untuk mengisi satu borang 'Serahan Barang-barang (Kes NTL)', kata Mustafar.

Dalam kes Ya Chien, katanya, subjek telah mengisytiharkan dua unit telefon bimbit untuk disimpan manakala wang disimpannya sendiri dan subjek telah diarahkan untuk duduk di ruangan yang telah disediakan.

Beliau berkata, beliau mengambil perhatian serius dakwaan wanita berkenaan dan telah mengadakan lawatan mengejut dari pukul 2 hingga 4 pagi hari ini (18 Mac) di klia2 bagi meneliti perkara tersebut serta kemudahan yang ada.

"JIM bertindak mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa," tegasnya.

Mustafar berkata beliau juga telah menghubungi Kedutaan Taiwan yang telah mengambil maklum bahawa JIM telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut prosedur.

"Tetapi individu berkenaan telah menjadikan isu ini sebagai isu peribadi beliau," katanya.

Pihak Kedutaan Taiwan juga sedia bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi memastikan rakyat Taiwan sentiasa mengambil perhatian terhadap peraturan dan undang-undang di Malaysia, katanya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain