Dua tahun Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali memimpin jabatan itu. Pelbagai cara baharu diperkenalkan untuk membanteras gejala rasuah.

Dalam masa yang sama, beliau juga perlu terus memastikan tiada pendatang asing tanpa izin (PATI) terus membanjiri tanah air apatah lagi kehadiran mereka selama ini sudah cukup melemaskan warga tempatan.

Tidak kenal erti lelah, merencana, membanting usaha dan kudrat selain pertukaran kerajaan, Mustafar terus tegas dengan langkahnya untuk memastikan integriti dan kebajikan pasukan terpelihara dan keselesaan masyarakat terus menjadi agenda utama.

Berikut, lima soalan yang diajukan wartawan MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI kepada Mustafar mengenai permasalahan yang perlu diselesaikannya.
 

Utusan: Op Mega 3.0 terus giat dijalankan dengan penangkapan ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi kehadiran golo­ngan pendatang itu dilihat seperti tidak pernah habis?

MUSTAFAR: Sebenarnya nak kata kemungkinan PATI untuk tidak ada langsung di dalam negara adalah sesuatu yang sukar.

Secara umumnya, warga asing ini ada yang hadir ke dalam negara pada awalnya secara sah tetapi melanggar peraturan disebabkan perkara-perkara tertentu.

Sebagai contoh, mereka datang sebagai pelancong dan boleh berada dalam negara selama 30 ke 90 hari.

Tetapi mereka tidak pulang disebabkan beberapa perkara seperti masalah kewangan sekali gus mereka melanggar peraturan dan menjadi PATI.

Ada juga warga asing yang masuk ke dalam negara menggunakan pas pelajar tetapi akhirnya mereka bekerja sebagai tukang urut, pelacur dan ini telah me­langgar syarat pas mereka di sini.

Bagi yang bekerja pula, mereka masuk dengan cara yang sah tetapi kemudian tidak menyambung pas bekerja sekali gus menjadikan mereka seorang PATI.

Sebab itu, PATI ini akan terus ada dalam negara dan usaha membanteras mereka perlu dite­ruskan setiap masa.

Bagaimana pula laluan masuk ke dalam negara terutamanya ‘laluan tikus’?

Hendak mengawal ‘laluan tikus’ sebenarnya bukan sesuatu yang mudah kerana ada banyak lagi laluan baru dan cara lain yang akan diwujudkan oleh PATI untuk masuk ke dalam negara. Lorong tikus pun boleh menjadi lorong gajah.

Sebab itu, masyarakat memainkan peranan besar untuk melaporkan sebarang laluan yang disyaki menjadi pilihan PATI kepada penguatkuasa undang-undang supaya tindakan segera dapat diambil.

Tetapi buat masa ini, terdapat 137 pintu masuk yang sah ke dalam negara meliputi laluan darat, udara dan juga laut.

Kesemua laluan terletak di bawah pantauan Jabatan Imigre­sen dan laluan yang paling se­nang diceroboh ialah kawasan laut dan pesisir pantai.

Disebabkan itu, kita bekerjasama dengan pelbagai agensi lain antaranya Jabatan Laut Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pasukan tentera untuk mengawal laluan-laluan yang berkemungkinan boleh diceroboh.

Peralihan pentadbiran negara, bagaimana Datuk Seri menyesuaikan keadaan?

Usaha untuk membanteras PATI sebenarnya sudah dilakukan sejak dari pentadbiran sebelum ini lagi cuma kerajaan sekarang mahu usaha itu terus ditingkatkan dan dipergiat.

Manifesto yang ditekankan sekarang ialah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing supaya PATI dapat dibasmi dan tidak berleluasa.

Saya berpegang pada fokus utama Jabatan Imigresen mengenai usaha membasmi pati.

Tambahan pula masyarakat sudah semakin lemas dengan kehadiran warga asing yang berkemungkinan besar adalah PATI.

Mereka ini duduk di suatu kawasan dengan jumlah yang ramai sekali gus membuatkan warga tempatan kurang selesa dan kita tidak mahu ini berterusan tanpa sebarang tindakan tegas.

Jabatan Imigresen didakwa sebagai salah satu lubuk rasuah, bagaimana Datuk Seri mengawal pegawai dan anggota daripada terlibat dengan jenayah itu?

Sebab itu saya wujudkan slogan Jabatan Imigresen iaitu inte­griti, profesional dan mesra.

Saya mengingatkan kepada semua supaya jangan ada penyelewengan, jangan sampai kepentingan diri diutamakan dan kepentingan umum diketepikan.

Gejala rasuah saya cuba selesaikan dari akar umbi melibatkan sistem prosedur kerja, tatacara kerja dan prosedur operasi stan­dard (SOP) sebab semua ini berkemungkinan besar membuka peluang kepada rasuah.

Antara langkah lain untuk menangani rasuah ialah dengan melaksanakan sistem atas talian supaya kita dapat mengurangkan interaksi manusia yang boleh membawa kepada rasuah.

Sistem atas talian ini juga sebenarnya mempercepatkan proses dan menjimatkan pelbagai pihak.

Ada amanat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Jabatan Imigresen?

Antara amanat yang diberikan ialah mengenai gejala rasuah dan prestasi kerja yang mendahulukan kepentingan awam, bukan diri sendiri.

Perdana Menteri juga mengi­ngatkan supaya prestasi kerja perlu dipertingkatkan secara berterusan.