Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, sistem itu merupakan sistem perkhidmatan imigresen dalam talian sepenuhnya yang akan menggantikan Program Pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) dan sistem-sistem tampalan lain yang digunakan jabatan itu ketika ini.

“Langkah ini diambil memandangkan sistem diguna pakai Jabatan Imigresen iaitu myIMM­s umpamanya sudah agak lama iaitu lebih 20 tahun dan sememangnya perlu di­tingkatkan kapasitinya. Sebab itu Kabinet memutuskan untuk meluluskan cadangan KDN.

“Jadi, kita akan memper­kenalkan satu sistem berintegrasi dipanggil myIMMs Global. Sistem ini adalah menentukan bahawa pada masa panjang, kita ada satu sistem cekap dan lengkap selain mengambil kira beberapa negara sudah pun menggunakan sistem seumpamanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sam­butan Hari Imigresen 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Selaras dengan keputusan itu, tambah Muhyiddin, Kabinet juga bersetuju membatalkan pelaksanaan projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang bernilai RM3.5 bilion.

Langkah pembatalan itu kata beliau, dibuat atas faktor keperluan untuk membangunkan satu sistem baharu yang lebih komprehensif, cekap, mesra pengguna dan mempunyai nilai wang serta menjimatkan dana kerajaan.

Berhubung kos sistem baharu tersebut, beliau memberitahu, kerajaan belum dapat memutuskan perkara itu tetapi sudah tentu mengharapkannya lebih murah berbanding SKIN selain mempunyai ciri-ciri lebih berintegrasi.

Menurut beliau, sebahagian daripada syarikat yang membekalkan perkhidmatan secara tampalan juga akan diambil alih oleh Jabatan Imigresen untuk disatukan.

Ditanya tentang perjanjian dengan pihak kontraktor berikutan pembatalan SKIN, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan rundingan semula dengan syarikat terlibat dalam membayar sebarang bentuk ganti rugi atau pampasan setimpal dengan usaha yang dimulakan mereka.