Jurucakap mewakili jemaah masjid tersebut, Zainol Abidin Ahmad, 69, berkata, sepanjang dua hari bertugas, keadaan seperti biasa dengan kebanyakan jemaah memenuhi masjid dan mengikut imam terbabit.

Katanya, para jemaah juga memaklumkan mengenai amalan yang diamalkan mereka selama ini untuk diikuti oleh imam itu.

“Setakat ini, imam dua yang mengetuai solat selepas pengganti imam satu masih belum datang. Dia (imam baharu) sedang sesuaikan diri dengan kita.

“Imam baharu juga memaklumkan akan berjumpa dengan imam lama sebelum menyatakan pendirian mengenai amalan yang akan diamalkan nanti. Setakat ini, dia masih mengamalkan bismillah kuat namun wirid dilakukan secara perlahan dan doa selepas sembahyang secara ringkas.

“Selepas perjumpaan nanti, imam baharu itu mungkin akan mendapat gambaran mengenai suasana di masjid tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam akhbar Utusan Malaysia melaporkan kariah dan jemaah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi di sini, mahu imam baharu mengikut amalan yang diamalkan mereka selama ini.

Mereka juga mahu mahu cara-cara dan amalan dilakukan sebelum ini seperti doa lepas sembahyang, qunut, bismillah kuat, wirid selepas solat dikekalkan meskipun dengan kehadiran imam baharu.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta 25 orang imam yang ditamatkan perkhidmatan agar menerima keputusan yang dibuat oleh majlis agama itu dengan hati terbuka dan berlapang dada.

Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan salah sangka terhadap majlis agama itu hendaklah dielakkan kerana tidak ada sesiapa yang mendapat manfaat daripada usaha-usaha seperti itu.

Sementara itu, Zainol Abidin berkata, imam baharu tersebut yang berasal dari Selangor juga bertugas di Jabatan Mufti negeri pada masa ini. - UTUSAN ONLINE