Menurut iM4U dalam satu kenyataan di sini, selain memberi bantuan kemanusiaan, sukarelawan tersebut akan membuat tinjauan di kawasan penempatan etnik Rohingya dan mengumpulkan maklumat bagi misi bantuan kemanusiaan seterusnya.

“Esok, tiga sukarelawan iM4U dan tujuh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menaiki penerbangan Malindo Air ke Bangladesh dan dijangka pulang ke tanah air pada hujung bulan ini.

“Barangan bantuan termasuk makanan dan perubatan akan dihantar pada Isnin depan menggunakan penerbangan kargo Malaysia Airlines,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Tambah kenyataan berkenaan, iM4U bersedia untuk menghantar sukarelawan tambahan dalam misi bantuan seterusnya dan sudah membuat persiapan rapi termasuk mempunyai bekalan makanan serta pakaian yang mencukupi.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan pelepasan tim tinjauan Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya ke Chittagong, Bangladesh.

Dalam misi tersebut, pasukan itu turut membawa bantuan makanan seberat 12 tan, sumbangan daripada iM4U.