DOSM merafak sembah menjunjung kasih di atas limpah per­kenan Sultan Nazrin mencemar duli ke majlis perasmian tersebut.

Penubuhan ILSM amat ber­tepatan bagi memperkukuhkan kompetensi sumber manusia da­lam bidang statistik, sekali gus dapat membuka peluang kepada penguasaan profesion baharu seperti data saintis.

Penubuhan institut itu merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang yang berimpak tinggi kepada masyarakat dalam menghadapi revolusi teknologi digital.

Selaras dengan Teras Misi Nasional iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama, kerajaan meluluskan permohonan DOSM untuk membina ILSM di bawah projek Public Fund Initiatives (PFI) yang bermula pada 2009 dengan fasa pertama telah siap sepenuhnya pada 28 Disember 2011 di atas ta­nah berkeluasan 16 hektar (40 ekar) di Sungkai, Perak.

Pembangunan ILSM ini sete­rusnya dilengkapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) pada 24 Jun 2014 dengan kemudahan blok penginapan, dewan serbaguna, surau, padang bola sepak, perpustakaan dan fasiliti pembelajaran lain.

ILSM mula beroperasi pada 3 Januari 2012 dengan kekuatan kakitangan seramai 35 orang dan dibantu oleh anggota DOSM di Putrajaya dan ne­geri sebagai tenaga pengajar dengan kursus pertamanya diadakan pada 5 Mei 2012.

Penubuhan ILSM mengangkat profesion statistik yang dilihat se­makin penting dalam agenda transformasi negara de­ngan berperanan sebagai pakar rujuk sejajar dengan evolusi analisis data serta cabaran masa kini se­perti fenomena big data.

Menyedari nilai tinggi data dan statistik, kerajaan juga me­rangka strategi memanfaatkan data bagi meningkatkan keberhasilan dan mengurangkan kos.

Beberapa kementerian dan agen­si bersama menggalas tanggungjawab mengumpul data da­lam bidang masing-masing dan memastikan perkongsian data me­rentasi agensi serta dalam masa sama Portal Data Terbuka Malaysia yang merupakan inisiatif pangkalan data setempat menghimpunkan sehingga kini 2,215 set data daripada lebih 100 agensi Persekutuan dan negeri untuk diakses oleh segenap lapisan masyarakat.

DOSM merupakan pembekal utama pangkalan data ini dengan 431 set data. Justeru ILSM komi­ted untuk menganjurkan pakej pem­belajaran yang moden, komprehensif dan berkualiti dalam bidang statistik ekonomi, sosial dan demografi, metodologi dan penyelidikan serta teknologi mak­lumat dan geospatial bagi mencapai visi­nya untuk menjadi insti­tusi pem­belajaran statistik yang unggul.

ILSM dalam ma­­sa sama me­ngembangkan sayap dalam me­­­ngendalikan kursus di pe­ringkat antarabangsa pada 2013 melalui pe­nganjuran kursus pertama dengan kerjasama organisasi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN.

Melalui program itu, sehingga kini sebanyak lima kursus antarabangsa dianjurkan melibatkan peserta luar negara sehingga 2016, sekali gus penganjuran ini berjaya mencerminkan kepercayaan organisasi antarabangsa terhadap keupayaan jabatan dan tenaga pakarnya.

Susulan daripada pencapai­an itu, institut berkenaan mengambil inisiatif untuk menyertai Program Kerjasama Teknikal di bawah Kementerian Luar sebagai platform penganjuran kursus bagi pihak antarabangsa.

Kejayaan DOSM membawa Kongres Statistik Dunia Kali Ke-62 yang berprestij tinggi di pe­ring­kat nasional dan antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2019 akan memberi peluang kepada 2,500 pakar statistik dan data saintis dari seluruh dunia untuk berkumpul di negara ini bagi berkongsi idea dan dapatan baru dalam bidang sains statistik.

Kongres itu secara langsung akan merubah landskap sistem statistik di negara ini serta memperkukuh rangkaian hubu­ngan dakam kalangan komuniti statistik di peringkat domestik dan antarabangsa.

Bagi menggalakkan perkongsian ilmu, kemahiran dan pe­ngalaman dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada organisasi, ILSM turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT), Institut Latihan Awam (ILA) dan rakan industri PLS dalam membekalkan data bagi tujuan kajian ilmiah dan penyelidikan.

Sehingga kini sebanyak 24 me­morandum persefahaman (MoU) ditandatangani oleh agensi serta institusi awam dan swasta.

Kajian yang dilaksanakan diharap dapat menghasilkan ilmu atau dapatan baharu yang memberi sumbangan kepada program transformasi negara serta dalam masa sama program itu akan mem­beri ruang kepada kedua-dua belah pihak untuk menyumbang kepakaran dalam bidang pengumpulan data, analisis dan penulisan.

Melalui kerjasama itu juga, ILSM berpeluang meneroka ilmu dalam tujuh bidang kepakaran iaitu kaji selidik metodolgi, operasi kaji selidik, ekonomi, demografi, sosial, alam sekitar dan sains data, seterusnya mengorak langkah sebagai sebuah pusat pentauliahan dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran serta mendapat pengiktirafan dalam bidang statistik.