NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pemantauan ke atas kejadian kluster ILI sedang dilakukan secara rapi oleh pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak berikutan lima kes berlaku di beberapa sekolah di negeri tersebut.

“Kementerian sedang melaksanakan tindakan pencegahan dan pengawalan bagi memastikan ia tidak merebak termasuk mengasingkan kes-kes bergejala daripada pelajar-pelajar lain yang sihat.

“Semua kes mengalami gejala ringan dan telah diberikan rawatan. Ujian makmal turut dilakukan bagi menentukan penyebab kluster ber­kenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon mengumumkan seramai 216 pelajar di tiga sekolah di Ipoh dikesan menghidap gejala penyakit ILI.

Daripada jumlah itu, seramai 129 pelajar adalah dari Sekolah Raja Perempuan Taayah; 84 Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan selebihnya murid Sekolah Kebangsaan Klebang.

Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, pihaknya juga mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah mudah bagi mencegah penularan jangkitan influenza.

Jelas beliau, langkah-langkah itu seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat.

“Bagi mereka yang mempunyai gejala ILI adalah dinasihatkan supaya berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai manakala golongan beri­siko tinggi perlu mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

“Sekiranya seseorang yang bergejala tetapi perlu juga keluar rumah disebabkan sesuatu urusan yang penting, mereka dinasihatkan agar sentiasa memakai penutup mulut dan hidung,” katanya.

Tambah beliau, golongan berisiko juga digalakkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim dari mana-mana fasiliti kesihatan swasta.