Nurul Idayu Abd. Rashid

Bagi Nurul Idayu Abd. Rashid,28, dia tidak menyusahkan pihak lelaki untuk meletakkan hantaran tinggi kerana memikirkan keperluan selepas berkahwin lebih penting.

“Jika hendak buat majlis, ukur baju di badan sendiri, perlu tengok kemampuan sendiri. Buat apa habis beribu-ribu ringgit hanya untuk sekadar majlis diadakan cuma sehari? Keperluan lain lebih penting selepas berkahwin.

“Malah, ibu saya juga tidak pernah meletakkan sebarang hantaran ketika pihak lelaki datang berbincang, cukup sekadar memberitahu mas kahwin wajib yang perlu dibayar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia Sabtu.

Dia yang berasal dari Terengganu memberitahu, kebanyakan orang yang berkahwin di negeri itu tidak mengambil sebarang hantaran untuk perkahwinan.

“Keluarga saya tidak meletakkan jumlah wang hantaran, bahkan hanya sekadar membayar perkara yang wajib iaitu mas kahwin termasuk duit hantaran sebanyak RM5,000.

“Ibu saya beritahu, jangan menyusahkan pihak lelaki untuk menyediakan wang hantaran kepada semua anak-anak perempuan (adik-beradik) saya. Dalam kalangan kami, ada yang telah berkahwin sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Nurul Idayu yang merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik memberitahu, wang hantaran tersebut tidak digunakan untuk kegunaan majlis, sebaliknya dia menyimpan wang tersebut untuk kegunaan sewaktu kecemasan kelak.

Dia juga menasihatkan bakal pengantin agar tidak meminta wang hantaran tinggi untuk mengadakan majlis kenduri di sebelah pihak perempuan kerana majlis itu sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh keluarga perempuan.

“Kebanyakan pasangan pengantin meminta lebih kerana memikirkan kos perbelanjaan untuk majlis sebelah pihak perempuan. Tindakan tersebut bukan sahaja menyusahkan, malah menambah beban hutang selepas majlis,” katanya.