Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, sebaik-baiknya kerajaan Pakatan Harapan perlu fokus untuk menunaikan janji yang lebih penting di dalam manifesto mereka seperti menurunkan harga minyak, hapuskan tol dan mansuhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada tergesa-gesa memberi pengiktirafan kepada UEC ini.

Katanya, tindakan Pakatan Harapan tidak melaksanakan janji yang lebih penting itu sebenarnya cukup dirasai oleh rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada mereka dalam pilihan raya baru-baru ini.

“Iktiraf UEC adalah sesuatu yang amat ditentang oleh Pas. Kita harap Menteri Pendidikan (Dr. Masz­lee Malik) dapat mengkaji semula hasrat itu yang dilihat bertentangan dengan konsep Perlembagaan ke arah mewujudkan perpaduan nasional.

“Kita tidak sepatutnya mengadakan sesuatu (iktiraf UEC) hanya sekadar untuk mengambil hati sesetengah pihak demi untuk mempertahakan kuasa sehingga akhirnya memberi kemudaratan kepada perpaduan kaum," katanya di sini hari ini.

Semalam, Dr. Maszlee menegaskan Kementerian Pendidikan tidak akan membuat ‘pusingan u’ atau dilihat flip-flop dengan tidak meneruskan rancangan mengiktiraf UEC selaras manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Mohd. Shukri mencadangkan supaya pungutan suara dalam kalangan rakyat diadakan bagi mendapatkan pandangan dan kemahuan mereka sama ada bersetuju atau sebaliknya pengiktirafan UEC ini.

Katanya, sekiranya UEC ini memberi manfaat kepada rakyat mengapa pengiktirafannya ditangguhkan oleh Perdana Menteri dahulu termasuk pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Mengapa sekarang baru hendak iktiraf ketika pemerintahan Pakatan Harapan ketika ini," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang. - UTUSAN ONLINE