Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, kesan jangka panjang terhadap perkara ini akan memberi kesan kepada pembinaan negara bangsa apabila rakyat semakin sukar mencapai perpaduan kaum.

Katanya, ahli-ahli politik sepatutnya memikirkan kesan jangka panjang dan bukan hanya kepen­tingan politik jangka pendek yang akhirnya akan memakan diri dan anak-anak bangsa.

“Kini kita sudah ada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang jelas memisahkan kita daripada kecil dan kini UEC pula mahu diiktiraf, menambahkan lagi pengasingan antara kita. Impaknya telah menyebabkan kita takkan mampu bersatu dalam satu bahasa dan satu budaya.

“MPM menolak UEC bukan ke­rana alasan perkauman tetapi ke­rana sijil itu tidak konsisten de­ngan Dasar Pendidikan Negara yang ada. Saya melihat rakyat Malaysia kini semakin terbahagi tidak kira dalam politik, ekonomi, pendidikan dan agama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan untuk meneruskan rancangan mengiktiraf UEC selaras dengan manifesto Pakatan Harapan.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan, pihaknya tidak akan membuat pusingan U atau dilihat flip-flop dalam perkara itu.

Sementara itu, Presiden Kesa­tuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak meminta kerajaan untuk membuat kajian yang mendalam sebelum mengiktiraf UEC kerana dikhuatiri akan me­ngundang kecelaruan terhadap sistem pendidikan negara.

Katanya, kecelaruan sistem pendidikan negara pula dibimbangi akan menggugat keharmonian rakyat yang sudah yakin terhadap sistem kini.

“UEC adalah satu isu lama dan dijadikan matlamat politik golo­ngan tertentu dan ini sepatutnya tidak berlaku. Dasar Pendidikan Negara yang sedia ada sudah dianggap terbaik jadi saya anggap tiada keperluan untuk mewujudkan yang baharu.

“Apa pun yang terjadi, kerajaan perlu mengutamakan Perlembagaan Persekutuan dalam me­nyentuh atau mengubah dasar yang berkaitan pendidikan, iaitu salah satu dasar paling pen­ting dalam pembangunan negara bangsa,” katanya.