Pengerusinya, Dr. Syed Husin Ali berkata, anugerah ini akan diberikan kepada individu dan pertubuhan yang menjalankan aktiviti dan sumbangan dalam mewujudkan integrasi nasional dan perpaduan kaum.

Penganjuran anugerah ini juga, jelas Syed Husin, selari dengan apa yang telah dilakukan oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang dalam setiap karyanya yang sering mempromosi integrasi nasional sebagai wadah utama.

“Anugerah ini juga diharap dapat memupuk semangat perpaduan di antara masyarakat berbilang kaum yang ada di negara ini,” katanya dalam kunjungannya ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (Berhad) di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Datuk Michelle Soon dan anak Allahyarham Usman, Haslina Usman.

Yang menyambut kunjungan Syed Ali dan rombongan ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Jamal Ahmed.

Memasuki tahun kedua pe­nganjurannya, AINUA 2017 yang diadakan dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) bermatlamat mahu melihat integrasi nasional subur dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Michelle berkata, orang ramai boleh menghantarkan pencalonan kepada pihak penganjur melalui borang yang dimuat turun di laman web YUA sama ada pencalonan bagi kategori individu atau pertubuhan.

“Tidak kira bangsa, agama dan latar belakang boleh dicalonkan, apa yang penting kami melihat apa yang telah dilakukan oleh mereka dalam mengangkat integrasi kaum.

“Hadiah yang disediakan untuk kategori individu dan pertubuhan masing-masing wang tunai RM10,000 dan geran sebanyak RM15,000 untuk projek perpaduan yang akan dilakukan,” jelasnya.

Borang pencalonan perlu dihantar sebelum 31 Disember ini, anugerah akan disampaikan pada malam kemuncak AINUA 2017 yang dijangka diadakan pada 21 Mac tahun hadapan bersempena Hari Puisi Sedunia.