Walaupun penyampaian dan gaya bahasa yang digunakan agak santai namun Sasterawan Negara, Datuk Dr. Baharuddin Zainal atau nama penanya BAHA ZAIN menegaskan usaha penulis-penulis muda itu harus diberi galakan kerana berjaya menambat hati para pembaca.

Jelasnya kepada wartawan Utusan Malaysia, FARHANA JONI, beberapa perkara wajar dilakukan agar penulis-penulis muda tanah air terus bersemangat menghasilkan pelbagai karya Melayu yang kreatif.

DR. BAHARUDDIN ZAINAL
DR. BAHARUDDIN ZAINAL

UTUSAN: Apakah pandangan Datuk terhadap karya-karya indie yang dilihat semakin mendapat tempat di pasaran arus perdana dan minat masyarakat?

BAHA ZAIN: Perkembangan penulisan baharu ini amat baik kerana ekspresi dan perasaan anak-anak muda mengenai pelbagai perkara dalam perspektif mereka dapat difahami.

Garapan penulisan yang tidak terikat dan santai itu bagi saya antara faktor yang menarik golongan belia untuk membaca, jadi ia harus dilihat daripada sudut positif.

Ada segelintir pihak berpandangan bahawa penulisan baharu karya-karya indie tidak setanding karya sastera arus perdana, apa pandangan Datuk?

BAHA ZAIN: Jika mereka boleh menggunakan bahasa Melayu seterusnya menulis dengan baik, mengapa perlu kita mematahkan dan menentang?

Apa yang penting, karya-karya tersebut mengajak masyarakat membaca dan berfikir dengan cara yang pelbagai. Selagi ia tidak melanggar moral, saya rasa kita patut terima de­ngan baik.

Apakah kesan pandangan sinis beberapa pihak terhadap penulisan baharu ini dan enggan mengiktiraf ia sebahagian daripada perkembangan sastera Melayu?

BAHA ZAIN: Ketika muda dulu, saya pun menulis begitu dan apabila ada yang menentang, ia menghalang kebebasan dan merencatkan kreativiti untuk berkarya.

Sepatutnya kita mempelawa penulis-penulis baharu ini berdialog dan berhimpun sekali setahun sekurang-kurangnya bagi mendalami idea pemikiran mereka. Secara peribadi, saya mengiktiraf golongan dan karya mereka.

Adakah Datuk bersetuju penulisan baharu itu merupakan usaha untuk memastikan bidang sastera Melayu bergerak selari dengan perkembangan zaman?

BAHA ZAIN: Ya, boleh jadi begitu malah lebih manis apabila penulisan baharu itu berupaya menghasilkan karya-karya ilmiah dan bacaan umum yang bermanfaat.

Kreativiti penulisan baharu bermain dengan bahasa mungkin masih terbatas tetapi idea yang pelbagai itu wajar dihargai semua.

Apakah cadangan Datuk supaya bidang sastera Melayu terus diperkasa?

BAHA ZAIN: Mungkin agak klise tapi itu sahaja langkahnya iaitu semua pihak bermula dari atas hingga bawah perlu bangga dengan bahasa Melayu terlebih dahulu.

Bagi mereka yang memiliki kuasa, usahakan pelbagai insentif untuk menggalakkan penulis berkarya selain membantu syarikat penerbitan swasta mencapai matlamat yang sama.