Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Melayu tetap menjadi syarat utama kepada mana-mana calon untuk diterima sebagai kakitangan kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Beliau berkata, meskipun wujud ketidakpuasan hati segelintir berhubung isu iklan jawatan kosong di HPP itu, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri masih mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang diguna pakai dalam semua urusan di peringkat jabatan dan agensi kerajaan.

"Dasar kerajaan negeri kekal dengan bahasa Melayu masih menjadi asas (keutamaan), kalau ada agensi yang mengenakan syarat bahasa lain (selain Bahasa Melayu) itu adalah nilai tambah.

"Dalam kes membabitkan HPP, syarat penguasaan Bahasa Mandarin bagi calon jururawat terlatih bukan merujuk kepada kaum Tionghoa sahaja malah terbuka kepada calon daripada semua keturunan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Adly mengulas tindakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan meminta penjelasan daripada beliau mengenai iklan jawatan kosong di HPP yang tular dalam laman sosial hari ini.

Menerusi iklan itu, pusat perubatan milik kerajaan negeri tersebut meletakkan syarat mengutamakan pemohon yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Cina tanpa menyatakan bangsa bagi jawatan jururawat terlatih.

Keutamaan berbahasa Cina itu bagaimanapun tidak dinyatakan bagi tiga jawatan lain iaitu jururawat terlatih (hemodialisis), pembantu dapur dan pembantu cef. - UTUSAN ONLINE