Menteri Belia dan Sukan, Khai­ry Jamaluddin berkata, sasaran tersebut menepati hasrat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi memperkukuhkan pendidikan tek­nikal dan vokasional dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, kerjasama antara IKBN dan pelbagai peneraju industri dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang teknikal dan vokasional menjelang tahun 2020.

“Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan telah memulakan Program Transformasi IKBN pada 2014 dengan antara satu inisiatif yang dirancang adalah mewujudkan kerjasama antara IKBN dan pihak industri.

“Sasaran dua MoU antara IKBN dan industri adalah amat penting dalam melahirkan lepasan IKBN berkualiti tinggi sekali gus meningkatkan potensi peluang pekerjaan mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani MoU antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Oceancare Corporation Sdn. Bhd. (Oceancare) di sini hari ini.

MoU itu membabitkan kerjasama dalam program khas berhubung pendedahan industri sektor minyak dan gas kepada pelajar dan pengajar IKBN Miri, Sarawak.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh dan Presiden Oceancare, Datuk Nelson Balang Rining.

Sementara itu, Khairy membe- ritahu, MoU tersebut bukan sahaja dapat menjamin penempatan kerja sekurang-kurangnya 20 pelajar IKBN Miri di Oceancare, tetapi dapat memberi pendedahan lanjut dalam industri minyak dan gas kepada mereka.

Selain itu katanya, sebanyak 10 pelajar semester akhir IKBN Miri berpeluang menjalani latihan industri di Oceancare.

“Kerjasama dua hala ini diharap dapat diteruskan bagi merealisasikan misi pembangunan modal insan belia dan berkemahiran dalam kalangan generasi belia,” tambahnya.

“Usaha seumpama ini bertepatan dengan matlamat RMK-11 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 dengan melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam sektor teknikal dan vokasional,” katanya.