Sempena pelancarannya, tiga program diadakan serentak termasuk Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan 2015 IMAMI Malaysia oleh Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan pelancaran IMAMI Indonesia oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

Turut dilancarkan ialah Kamus Komunikatif Nusantara yang diterbitkan dengan kerjasama UPM dan Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu Jogjakarta, Indonesia.

Setiausaha IMAMI Malaysia, Ramli Abdul Karim Hasibuan dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, ketiga-tiga program serentak itu akan berlangsung di Dewan Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM bermula pukul 10 pagi.

Menurutnya, selain agenda mesyuarat agung, pelbagai acara diatur termasuk persembahan Gordang Sambilan (gendang sembilan), iaitu salah satu kesenian tradisional suku kaum Mandailing yang popular.

“Seramai 30 pengurus (jawatankuasa) IMAMI Indonesia akan hadir sama diketuai Presidennya, S.S Baginda Tambangan Harahap. Mereka dari empat kabupaten (daerah) dan satu Pemerintah Kota (majlis perbandaran), iaitu tempat asal usul kaum Mandailing di Sumatera Utara.

“Pelancaran IMAMI Malaysia dan IMAMI Indonesia selaras dengan gagasan Komuniti ASEAN, iaitu memperkuat hubungan ‘people to people’ (rakyat dengan rakyat) dan menyemarakkan semangat kekitaan rakyat negara-negara anggota ASEAN,” katanya.

IMAMI Malaysia adalah anggota gabungan kepada Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) dan bernaung di bawah Yayasan Warisan Negara.

Sementara itu, Ramli mengalu-alukan masyarakat Mandailing di Malaysia menghadiri ketiga-tiga program tersebut yang turut bertujuan mengukuhkan silaturahim dan ukhuwah sesama ahli.

“Ahli-ahli berpeluang menikmati makanan tradisional Mandailing ketika jamuan tengah hari termasuk ‘bulung gadung na iduda’ (gulai pucuk ubi tumbuk) dan ‘sambal tuktuk’ (sambal tumbuk),” katanya.

Bagi keterangan lanjut boleh berhubung dengan Ramli di talian 019-6066564 atau Penolong Setiausaha IMAMI Malaysia, Hafizah Kamaruddin Lubis (013-3805023) atau laman Facebook https://www.facebook.com/Ikatan.Mandailing.Malaysia.Indonesia.IMAMI. - UTUSAN ONLINE