Jika berminat untuk melihatnya, anda boleh mengunjungi myDOF Valley di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini.

myDOF Valley merupakan penjenamaan semula aktiviti yang sebelum ini dikenali sebagai Laman Perikanan.

Pada MAHA 2016, myDOF mengetengahkan 10 tarikan utama termasuk pameran ikan-ikan terbesar seperti ikan kerapu kertang seberat 60 kilogram dan ikan temoleh seberat 18 kilogram.

Pameran ikan termahal turut diadakan termasuk ikan empurau yang dianggarkan bernilai RM2,000 sekilogram dan ikan kelisa platinum.

Selain itu, ia juga menampilkan beberapa aktiviti menarik seperti Kingdom of Sharks dan Fisherman Fun House (Rumah Terbalik).

Di Kingdom of Sharks, pengunjung berpeluang merasai pengalaman seolah-olah berada dalam dunia lautan dengan dikelilingi ikan yu.

Di pameran itu juga, pengunjung boleh mendapatkan maklumat-maklumat mengenai ikan yu selain spesies marin lain se­perti penyu, paus dan dugong yang turut dipamerkan bagi tujuan pembelajaran.

Sebanyak 39 buah syarikat komersial turut mengadakan pameran di myDOF Valley dan pelbagai aktiviti dagangan dan pemadanan perniagaan diadakan di situ.

Jika berminat untuk merasai keenakkan sate ikan tuna, pe­ngunjung juga boleh mencarinya di laman pameran tersebut.