Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ir­mohizam Ibrahim berkata, pi­haknya telah berbincang dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Persatuan Nelayan Laut Dalam Semenanjung berhubung perkara itu.

Menurutnya, jumlah tangkapan­ ikan di Perak seperti di Pantai Remis dan Hutan Melintang kini menunjukkan peningkatan dan Nekmat telah mengumpulkannya untuk dijadikan produk sejuk beku segar sebagai stok serta bekalan pada musim perayaan ini.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Nekmat bahawa mereka ketika ini mempunyai stok ikan sejuk beku segar berjumlah 30 tan.

“Sekiranya berlaku kekurangan bekalan ikan di pasaran, Nekmat akan melambakkan bekalan itu di pasar-pasar tani di seluruh negara.

“Kita yakin jumlah itu mampu menampung permintaan pasaran sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas penutupan Kursus Ke­selamatan Nelayan (Kukenal) Negeri Selangor di Pantai Remis di sini hari ini.

Irmohizam memberitahu, harga ikan juga dijangka terus stabil dan berpatutan ekoran tidak mengalami masalah bekalan.

“Persiapan bagi memastikan bekalan ikan mencukupi dan har­ga ikan berpatutan telah dilakukan di antara LKIM, Nekmat, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Apabila bekalan ikan mencukupi, harga ikan akan stabil dan berpatutan,” ujarnya.