Kaedah pembedahan itu digunakan untuk merawat pesakit mengalami bengkak tidak normal (aneurisme) aorta atau kerosakan pada dinding aorta yang berpunca akibat penuaan, hipertensi, sejarah keluarga dengan penyakit berkenaan, kolesterol tinggi dan serangan jantung, situasi yang dikesan boleh berlaku kepada lima daripada setiap 100,000 orang.

Pakar bedah jantung IJN, Dr. K.M. Paneer Selvam berkata, pengenalan prosedur baharu itu bermakna pesakit hanya perlu menjalani pembedahan sekali sahaja berbanding dua pembedahan berasingan sebelum ini yang meningkatkan risiko dan trauma kepada pesakit dan keluarga.

Menurut beliau, pembedahan penukaran aorta sepenuhnya yang bermula dari jantung ke anggota bawah badan berjaya dijalankan ke atas dua orang pesakit pada awal minggu ini.

“Prosedur ini sangat kompleks dan mula diperkenalkan hanya di beberapa negara sejak dua tahun lalu. Saya dan pasukan saya berjaya melakukan prosedur ini ke atas seorang pesakit lelaki berumur 54 tahun dan seorang pesakit wanita berumur 45 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di IJN hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhari Yakub dan Ketua Jabatan Pembedahan Jantung, Datuk Sri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon.

Dr. Paneer Selvam berkata, mereka yang menunjukkan simptom sakit pada bahagian dada, belakang dan perut selain tidak boleh menelan serta sesak nafas perlu mendapatkan rawatan segera kerana tindakan tidak mengendahkannya akan meningkatkan risiko maut.

Sementara itu, Dr. Mohd. Azhari Yakub berkata, rawatan aorta adalah satu proses yang sangat rumit dan adakalanya pembedahan merupakan satu-satu pilihan pesakit yang menyebabkan IJN cuba menawarkan kaedah dan prosedur terkini dengan kepakaran, kemudahan dan keupayaan terbaik.

“Kos pembedahan penukaran aorta sepenuhnya bergantung kepada keadaan pesakit tersebut namun boleh dikatakan antara RM60,000 hingga RM80,000. Jumlah kos ini tidak banyak berbeza dengan kaedah dan prosedur sebelum ini,” katanya.