Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar berkata, Idris akan dianugerahkan darjah kebesaran tertinggi negeri iaitu Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada sesi pertama penganugerahan, Sabtu ini.

“Darjah kebesaran tertinggi Melaka itu pertama kali diberikan dan hanya untuk Ketua Menteri. Sebelum ini darjah ini hanya diberikan kepada Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar sempena sambutan itu di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Majlis penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka akan diadakan dalam tiga sesi iaitu pada Sabtu dan Ahad ini masing-ma­sing melibatkan 229 penerima dan 378 penerima manakala pada 19 November ini 316 pe­nerima.

Dalam pada itu Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mendahului senarai 11 penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri diikuti Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam ne­geri, Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Turut disenaraikan sebagai pe­ne­rima DGSM ialah Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Pengerusi Eksekutif Concord Alliance Sdn. Bhd., Tan Sri Mohd. Hussin Abd. Hamid; Utusan Khas Perdana Menteri Ke Negara-negara Afrika Selatan, Prof. Emeritus Tan Sri Lim Kok Wing dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Tanjung Offshore Berhad, Tan Sri Tan Kean Soon.

Timbalan Menteri Sains, Tek­nologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah disenaraikan antara 20 penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Antara penerima lain yang turut disenaraikan sebagai pene­rima DCSM ialah Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Roslan Md. Taha; Pengarah Smart Home Asia Sdn. Bhd., Datuk Seri Tan Lung Lai, pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei; Penasihat MCA negeri, Datuk Gan Tian Loo dan Pengarah Vascory AG, Datuk Ranjeet Singh Sidhu.

Duta Besar Malaysia Ke Pe­rancis, Datuk Ibrahim Abdullah; Mufti Negeri Melaka, Abdul Halim Tawil dan Pesuruhjaya Kehakiman Badan Kehakiman Malaysia, Datuk Mohd. Firuz Jaffril dan Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din merupakan antara 14 penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hasan; Penasihat Ketenteraan Pejabat Menteri Pertahanan, Arman Rumaizi Ahmad dan Ketua Eksekutif Universiti Multimedia Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq mendahului senarai 122 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Turut tersenarai sebagai pene­rima DPSM ialah Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah, Pengarang Eksekutif Berita Hari­an, Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Pembangunan Pertanian Melaka, Isnin Aman.