Pelantikan Idris yang terkenal sebagai pemimpin negeri paling banyak membawa pembangunan dalam teknologi hijau dan alam sekitar itu mencatat sejarah apabila beliau menjadi pemimpin dari rantau Asia yang pertama dipilih ke jawatan itu yang dianggotai kira-kira 1,500 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bandar raya dari seluruh dunia.

Timbalan Pengarah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) Subregional Corporation, R. Balamurugan berkata, pemilihan Idris dalam Gexcom adalah bagi mengetuai portfolio Kemapanan (Resilience) dan Idris adalah antara 14 pemimpin dari seluruh dunia yang dilantik oleh ICLEI bagi menganggotai organisasi itu yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kejayaan Melaka dalam mempromosikan agenda hijau untuk negeri ini boleh dikaitkan secara langsung dengan Datuk Seri Idris dan sebagai Ketua Menteri Melaka beliau didorong oleh keyakinan diri sendiri dan penuh peranca­ngan untuk membawa perubahan dalam cara hidup rakyat Malaysia berfikir tentang pembangunan alam sekitar dan teknologi hijau.

“Ini merupakan pelantikan yang sangat berprestij kepada Idris serta rakyat Melaka dan Malaysia yang mana beliau menjadi pemimpin Asia pertama akan berkhidmat di Gexcom ICLEI," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menerusi pelantikan itu, Idris akan berperanan sebagai pembuat dasar kepada ICLEI dalam bidang pembangunan teknologi hijau serta usaha dunia bagi memelihara alam sekitar.

Watikah pelantikan Idris sebagai pemegang Portfolio Kemapanan dalam Gexcom ICLEI itu disampaikan oleh Balamurugan yang mewakili ICLEI kepada Idris di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri di sini pada 3 Mei lalu.

Sejak dilantik sebagai Ketua Menteri pada tahun 2013, Idris mula berperanan melaksanakan dasar-dasar pemuliharaan alam sekitar dan teknologi hijau apabila menjadi Pengerusi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) untuk me­laksanakan pembangunan hijau di peringkat tempatan, kebangsaan dan peringkat antarabangsa.

Selain itu, di bawah kepimpinan beliau, Melaka telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa seperti Anugerah Green Apple Awards untuk Amalan Terbaik Alam Sekitar dan Pembangunan Mapan sejak 2013; Anugerah Bandar Lestari, Anugerah Tenaga ASEAN di Malaysia 2014 dan Anugerah Inovasi Perdana Menteri untuk Transformasi Sungai Melaka pada 2016.

Menurut Balamurugan, Me­laka pernah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Bandar-bandar Berdaya Tahan Asia Pasifik atau Resilient Cities Asia-Pacific (RCAP) pada tahun 2016 yang melibatkan hampir 600 delegasi termasuk 153 Datuk Bandar dan yang Dipertua PBT seluruh negara serta 200 Datuk Bandar dari seluruh Asia Pasifik.

Selain itu katanya, penglibatan Idris dalam usaha menangani pemuliharaan alam sekitar dan teknologi hijau diteruskan apabila negeri ini menjadi tuan rumah kepada Persidangan Urban Environmental Accords (UEA) kali keempat pada September lalu bertemakan Green City, Sustainable City iaitu bandar hijau bandar mapan yang mana menghimpunkan seramai 400 peserta dari seluruh dunia.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Idris selaku jawatankuasa dalam Gexcom akan terus berperanan lebih aktif memperkenalkan Melaka dan Malaysia di mata dunia. Beliau akan mempromosikan usaha-usaha kerajaan negeri dan Malaysia dalam inisiatif penjagaan alam sekitar, teknologi hijau dan pewujudan bandar raya mapan,” katanya.