Kenaikan lima anak tangga itu juga menyaksikan Malaysia kini berada di kedudukan kedua di Asia Tenggara selepas Singapura dan mengekalkan tempat kelapan di rantau Asia Pasifik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, peningkatan itu membuktikan kerajaan berada pada landasan yang betul dalam menyediakan Malaysia ke arah ekonomi digital.

Beliau mengulas laporan tahunan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) mengenai Laporan Mengukur Masyarakat Bermaklumat (MIS2016) di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Tele­komunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (TELMIN) Ke-16 yang bermula di sini hari ini.

Laporan itu disiarkan sempena Persidangan Telekomunikasi/Simposium Indikator-Indikator ICT Ke-14 di Gaborone, Botswana pada 22 November lalu.

Laporan itu mengklasifikasikan Malaysia sebagai satu daripada lima negara paling dinamik dengan peningkatan kukuh dalam nilai IDI dan antara 10 negara teratas dalam ranking IDI.

Menurut Salleh, kenaikan ketara itu disumbangkan antaranya peningkatan dalam langganan jalur lebar mudah alih yang disokong oleh peningkatan dalam bahagian individu yang menggunakan internet dan juga isi rumah yang mendapat akses kepada komputer dan internet.

“Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan ranking Malaysia dalam IDI tahun depan, naik lima anak tangga lagi dan berada dalam kedudukan ke-30 terbaik dunia menjelang akhir RMK11 (Rancangan Malaysia Ke-10 berakhir pada 2020) melalui pelbagai inisiatif untuk menggalakkan akses dan penggunaan internet terutamanya rangkaian jalur le­bar tetap,” kata menteri itu.

Menurut laporan itu, Malaysia mencatatkan nilai yang tinggi bagi langganan telefon bimbit mudah alih tetapi harga yang jauh lebih rendah untuk langganan talian telefon tetap berban­ding negara membangun dan negara berpendapatan tinggi.

Malaysia juga mencapai nilai yang jauh lebih tinggi dalam penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sub-indeks, meningkat 1.23 mata kepada 5.86 sepanjang tahun ini.

Sebaliknya, nilai kemahiran ICT sub-indeks kekal tidak ber­ubah pada 5.87 dalam tempoh yang sama.

IDI adalah teras utama dalam laporan tahunan MIS dan ia adalah penanda aras tahap pemba­ngunan ICT ekonomi dunia.

IDI mengandungi 11 indikator mengenai akses ICT, penggunaan dan kemahiran, menguasai aspek utama pembangunan ICT dalam satu langkah yang membolehkan perbandingan di seluruh negara dan lebih masa.

Republik Korea berada di ran­king pertama dengan nilai IDI 8.84 peratus bagi tempoh dua tahun berturut-turut.– BERNAMA