Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, masyarakat perlu menyokong usaha berkenaan supaya negara terus maju ke hadapan.

“Orang ketawakan teknologi kereta terbang dan mereka yang ketawa ini ketinggalan ke belakang. Kita mahu didik masyarakat apa itu kereta terbang.

“Kita boleh tengok pameran teknologi golongan muda yang kini menjengah teknologi angkasa lepas. Mereka kena ingat kita mahu maju ke hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Forum Hari Usahawan Malaysia-ASEAN di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Redzuan berkata, prototaip kereta terbang pertama negara yang menelan kos kira-kira RM1.2 juta dijangka dapat direalisasikan tahun ini untuk sasaran industri pengangkutan negara.

Dalam pada itu Mohd. Redzuan berkata, usahawan muda di negara ini perlu melibatkan diri secara bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk mendapatkan bantuan termasuk pasaran ke peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.

Tambahnya, usahawan muda juga perlu bijak mengintai pe­luang dan menjalinkan kerjasama dengan usahawan dari negara ASEAN bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

“Jangan tunggu kami meng­hubungi anda (usahawan). Anda mesti proaktif dan mencari kami untuk membantu perniagaan anda. Di peringkat kementerian, kami mempunyai latihan dan kaedah yang betul untuk membantu mening­katkan perniagaan anda,” katanya.

“Walaupun kami mungkin bukan yang terbaik di dunia daripada segi teknologi, latihan dan peralatan, tetapi kami boleh menjadi jambatan untuk mendapatkan kemudahan terbaik,” jelasnya.