Sambil menyifatkan pendapat Ahli Parlimen Kimanis itu sebagai kurang cerdik, Mohd. Redzuan menganggap semua pihak sewajarnya bersikap rasional dan lebih praktikal memberi komen terhadap idea projek kereta terbang yang dicetuskannya itu. 

Namun begitu, beliau tidak menolak dan bersikap terbuka sekiranya terdapat kajian mengatakan buluh boleh digunakan untuk membuat kereta terbang tetapi menegaskan bidang aeroangkasa ketika ini sebenarnya melibatkan bahan berteknologi tinggi. 

“Kita tahu bidang aeroangkasa kini bukannya cerita pasal buluh. Orang yang kurang pengetahuan, pengalaman dan tak memahami kemajuan teknologi memang akan memperlekeh (projek ini). Itu semua kurang cerdik. Saya tak mahu bersikap apologetik.  

“Kita kena lebih pandai dan kreatif. Takkanlah orang lain dah cerita pasal bahan teknologi tinggi, kita cerita pasal buluh. Takkanlah kita mahu menjadi lebih efisien tetapi keluarkan idea zaman kuno,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Apresiasi 2019 Kementerian Pembangunan Usahawan di sini hari ini. 

Anifah ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat semalam  mencadangkan supaya membawa idea kereta terbang untuk kegunaan rakyat di Sabah dan Sarawak berikutan tahap kualiti jalan raya di kedua-dua negeri itu masih tidak memuaskan.

Malah, Anifah turut mencadangkan supaya kereta terbang itu nanti menggunakan bahan asas daripada buluh yang dilihat ringan dan boleh diterbangkan. - UTUSAN ONLINE