Presiden Persatuan Peguam- Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dalam pertemuan selepas solat Isyak tersebut Mujahid hanya menyampaikan ucapan dan mendengar  dan mengambil nota pandangan yang dilontarkan oleh wakil NGO.

"Yang Berhormat Menteri mengambil pendirian untuk hanya mencatat tetapi tidak berdialog dengan NGO Islam yang membantah ICERD atau menyokongnya.

"Rumusannya ialah pertemuan malam tadi adalah input satu hala kepada  Menteri sahaja tanpa mendengar pandangan Menteri sendiri seperti dilapor media. Menteri pula berjanji akan membawa suara kami ke pihak atasan. Kami tidak dapat berinteraksi secara dua hala dengan Menteri," kata Zainul Rijal.

Dalam satu kenyataan Zainul Rijal berkata, dalam ucapan pada pertemuan itu Mujahid memberi jaminan bahawa sebarang tindakan kerajaan tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu, Islam dan raja-raja.

Mujahid turut menafikan terdapat had masa yang ditetapkan kerajaan untuk meratifikasi ICERD walaupun ada menteri yang berkata sedemikian.

"Oleh kerana pertemuan ini adalah pertemuan tertutup saya tidak dapat mendedahkan apa yang disuarakan oleh peserta secara terperinci.

"Namun secara umumnya majoriti peserta tidak bersetuju ICERD ditandatangani atau diratifikasi. Daripada 20 peserta yang berucap hanya 5 yang menyokong ICERD manakala baki 15 menolak," kata Zainul Rijal.

Turut memberikan ucapan pada pertemuan tersebut menurut Zainul Rijal adalah wakil dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Menurut Zainul Rijal, wakil Suhakam mahu kerajaan menandatangani dan ratifikasi ICERD.

"Ucapan wakil Suhakam sangat mengejutkan kerana seolah memberi amaran kepada kami dan sudah hilang hak asasi manusia untuk menyatakan pendirian kami dan seolah terus menghukum NGO Islam ingin memecah perpaduan dan tidak bertamadun.

"Suhakam mahukan kerajaan menandatangani dan ratifikasi ICERD," kata Zainul Rijal.

Sementara itu menurut Zainul Rijal, pertemuan malam tadi merupakan permulaan yang baik kepada NGO Islam kerana diberi ruang untuk memberi pandangan.

Menurut beliau, NGO Islam mengalu-alukan pertemuan seperti itu pada masa akan datang dan berterima-kasih kepada Mujahid kerana memberi peluang dan inisiatif tersebut boleh dipertingkat dari masa ke semasa.-UTUSAN ONLINE