Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berterus terang berhubung tujuan ratifikasi dilakukan bagi mengelakkan berlakunya bantahan, sebaliknya mereka menuntut Malaysia mengesahkan konvensyen berkenaan.

“Apabila Malaysia mengesahkannya, Perkara 153 dan dasar yang bersifat diskriminasi kaum yang telah dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dimansuhkan.

“Untuk mengelak bantahan orang Melayu dan kaum bumiputera, mereka mengatakan bahawa pengesahan tidak akan melibatkan peruntukan Perkara 153. Itu tidak betul,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Abdul Hamid mendakwa, alasan yang diberikan oleh kerajaan untuk memansuhkan Perkara 153 walaupun tidak pernah menyatakannya secara jelas adalah peruntukan tersebut menghalang kepada perpaduan dan pemansuhannya mampu merealisasikan usaha tersebut.

“Dalam kata-kata lain, hapuskan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera dan berikan mereka hak yang sama, perpaduan akan wujud. Itu adalah hujah yang meleset. Ia adalah helah untuk memansuhkan Perkara 153. Semua pihak perlu sedar,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE