TANGKAP layar akaun Facebook Ustaz Abdul Somad mengenai pemergian Allahyarham ibunya, Rohana Nuruddin yang meninggal dunia hari ini.

Menurut Abdul Somad, Allahyarham ibunya, Rohana Nuruddin meninggal dunia pada usia 71 tahun itu akan dikebumikan di Kampung Silau Laut, Kabupaten Asahan, Provinsi Sumatera Utara.

Beliau yang pernah dijemput Kerajaan Negeri Kelantan sempena sambutan Hari Murabbi Ummah, bulan lalu menceritakan saat-saat terakhir sebelum Allahyarham ibunya meninggal dunia.

"Seperti biasa, setelah tahajud dan witir, mak membaca al-Quran dan zikir yang biasa beliau baca, setelah itu makan sahur.

"Selesai santap sahur, mak masih menonton video taushiyah UAS (Ustaz Abdul Somad) di YouTube. Kemudian mak mandi, terasa sakit kepala.

"Beliau terus wuduk persiapan solat Subuh. Lalu pengsan, dibawa ke Rumah Sakit, menghembuskan nafas terakhir," katanya dalam status akaun Facebook miliknya di sini hari ini.

Dalam status sama, Abdul Somad yang dikenali dengan gaya bersahaja ketika menyampaikan ceramah memberitahu, Allahyarham ibunya pernah memberitahu mahu meninggal dunia dalam keadaan yang dipermudahkan.

"Persis seperti ucapan mak selama ini, 'Aku kalau bisa, mati jangan pakai sakit lama-lama. Kalau bisa mandi dulu, jadi jasad awak bersih. Mandi, ambil aye (air) sembahyang, pening, mati'," katanya. - UTUSAN ONLINE.