Ibu tunggal berkenaan, Roziyana Md. Amin, 36, yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas dekat sini demi menyara dua anak lelaki berusia 15 dan 13 tahun, kini tidak mampu bekerja selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada petang Aidiladha lalu.

Siapa sangka niat Roziyana bersama seorang rakan ke pusat bandar petang hari kejadian akhir­nya me­ngubah kehidupannya sekeluarga yang boleh diibaratkan se­perti sudah jatuh ditimpa tangga.

Kakak tiri Roziyana, Laila Saad, 58, berkata, pada petang kejadian kenderaan dinaiki adiknya itu terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan dia tersepit dan mengalami gegaran teruk di kepala.

Katanya, berikutan kemalangan itu, bahagian otak adik bongsunya itu mengalami kerosakan teruk dan tempurung kepala terpaksa dikeluarkan.

“Sekarang Roziyana hanya mampu terbaring dan kami adik-beradik yang lain bergilir-gilir menjaganya di rumah emak.

“Selepas kemalangan itu, Roziyana dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selama 13 hari sebelum dipindahkan ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut kira-kira dua minggu sebelum doktor meminta kami membawanya pulang,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Sungai Rusa, di sini hari ini.

Menurut Laila, adiknya itu kini juga hanya mampu minum susu melalui tiub sebanyak lapan kali sehari termasuk dipakaikan lampin pakai buang.

Tambahnya, ekoran kejadian yang menimpa Roziyana itu juga, mereka sekeluarga kini berdepan masalah kewangan memandangkan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM2,000 sebulan.

“Susu untuk Roziyana sahaja hampir RM700 sebulan dan itu tidak termasuk barangan keperluan lain seperti lampin pakai buang, sarung tangan, tiub makan dan kos untuk membawanya ke hospital dengan sewa ambulans sebanyak RM260.

“Setakat ini kami adik beradik berkongsi duit untuk perbelanjaan perubatan Roziyana dan barangan keperluan lain,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh meng­hubungi abang ipar Roziyana, Hazmi Bidi di talian 017-4354292.

Selain itu, katanya, perbelanjaan persekolahan dua anak adiknya itu juga ditanggung menerusi perkongsian bersama adik-beradik lain.

“Kami cuba memohon insurans di kilang tempat adik bekerja tetapi permohonan itu mengalami sedikit masalah kerana tidak dapat melampirkan laporan perubatan Roziyana yang kini dipegang pihak hospital memandangkan ada bayaran tertunggak sebanyak RM392 yang belum dijelaskan.

“Permohonan zakat dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah diuruskan, namun kami amat berharap sekiranya ada pihak lain yang sudi membantu, paling tidak pun dalam mengurangkan tanggungan untuk susu dan kos sewaan ambulans membawa Roziyana ke hospital,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan berhasrat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga tersebut boleh menghubungi abang ipar Roziyana, Hazmi Bidi di talian 017-4354292.