Norliza Brahim, 33, berkata anak perempuannya, Nurazrina Danila Mohd. Azuar juga me­ngalami masalah tulang belakang dan semasa berumur 15 hari terpaksa dibedah.

“Pergerakan anak saya terbatas kerana tidak mampu berjalan dan bercakap sejak dari kecil lagi. Penjagaannya perlu dititikberatkan terutama dari aspek kebersihan bagi mengelak jangkitan kuman yang boleh menjejaskan kesihatan,” kata­nya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia memerlukan kira-kira RM300 sebulan untuk keperluan Nurazrina seperti lampin pakai buang dan juga susu.

Katanya, dia juga berharap mendapat bantuan kerusi roda khas yang boleh menampung berat dan ketinggian yang berharga lebih RM3,000 untuk memudahkan membawa anaknya berulang alik ke hospital memandangkan kerusi roda biasa tidak dapat menampung keada­an Nurazrina.

“Nurazrina pernah terjatuh dari kerusi roda biasa semasa di hospital disebabkan dia tidak dapat duduk dengan betul di atas kerusi roda itu. Saya rasa sedih sangat masa itu tapi apakan daya saya tidak mampu,” katanya.

Norliza berkata, dia berniaga pisang goreng sejak sebulan lalu berdekatan rumahnya bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Katanya, pendapatan daripada menjual pisang goreng hanya RM30 hingga RM50 sehari dan dia tidak dapat membuka gerai jika hujan.

“Saya terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan. Kalau tak berniaga mana lagi nak dapat duit. Nak kerja jauh memang tak boleh memandangkan dua anak lelaki saya masih kecil untuk menjaga Nurazrina,” katanya.

Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh menghubungi Norliza di talian 013-454 4003 atau memberi sumbangan melalui akaun BSN miliknya bernombor 08248-41-000007563.