Allahyarham Safiah Sulaiman, 83, yang berasal dari Tanjong Ipoh, Kuala Pilah mengadu kurang sihat sejak tiga hari lalu termasuk mengalami kesukaran untuk bercakap sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8 pagi.

Menurut Mohd. Noordin, beliau sempat bertemu ibunya Rabu lalu sebelum menghadiri program anjuran Yayasan Kumpulan Utusan di Maahad Tahfiz Darul Mustafa di Pendang, Kedah semalam.

“Semasa melawatnya, arwah ibu memegang baju dan menarik tangan saya seolah-olah mahu saya terus menemaninya. Saya rasa tidak sedap hati, tetapi kerana ada tugas, saya terpaksa juga ke Kedah. Bagaimanapun, pagi ini saya mendapat panggilan mengatakan ibu sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui.

Yang turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Fuzi Harun; Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.