Mesej palsu itu yang mendakwa JPN Putrajaya menawarkan pertukaran status tersebut sehingga pukul 4 petang hari ini menyebabkan lebih 3,000 pemegang kad MyPR menyerbu JPN di sini sejak awal pagi tadi.

Difahamkan, kebayakan pemegang kad MyPR itu yang merupakan rakyat Indonesia telah berkumpul di hadapan Ibu Pejabat JPN seawal pukul 3 pagi tadi bagi memohon pertukaran status tersebut.

Dalam pada itu, JPN dalam kenyataannya, menjelaskan bahawa mesej yang telah tersebar itu adalah palsu dan pihaknya tidak menjalankan sebarang program pemberian warganegara kepada orang luar tidak layak dan di luar Perlembagaan Malaysia.

“JPN meminta orang ramai tidak mempercayai hebahan maklumat berkaitan program pertukaran kad pengenalan merah kepada MyKad seperti yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

“Maklumat yang disebarkan adalah palsu dan tidak benar, sehingga kini tiada sebarang perubahan syarat atau prosedur permohonan berkaitan urusan kad pengenalan atau warganegara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sebarang penyiaran maklumat berkaitan urusan pendaftaran dan hal ehwal berkaitan JPN hanya boleh disahkan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan pegawai yang dilantik.- UTUSAN ONLINE