Menerusi akaun Instagram miliknya, Noor Kartini menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila impian Neelofa untuk bergelar ‘Hajah’ menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah....dengan re­zeki mu Ya Rabbi.

“Anakku telah bergelar Hajah Neelofa. Amin! Syukur Ya Rahman, syukur ya Rahim,” tulisnya dalam perkongsian pada laman sosial itu.

Neelofa dan beberapa ahli keluarganya, termasuk Noor Kartini baru sahaja selesai menjalani ibadah terpenting yang wajib dilakukan oleh setiap jemaah haji iaitu wukuf di Padang Arafah yang berlangsung petang semalam, pada 9 Zulhijjah, bersamaan 11 September 2016.

Ini merupakan detik terpen­ting dalam menjalani rukun ibadah haji yang juga rukun Islam kelima.

Ketika berita ini ditulis, rombongan jemaah haji sedang dalam perjalanan ke Mina untuk melontar jamrah.

Seterusnya, jemaah akan melaksanakan rukun-rukun haji yang selebihnya seperti tawaf haji dan saie.

Sementara itu laman sosial Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 27, turut dihujani dengan ribuan komen berupa doa peminat untuk kesejahteraan artis muda itu sepanjang menjalani ibadah haji musim ini.

Selain itu, hampir 22,000 peminat turut mengirimkan doa khas untuk dibacakan oleh Neelofa ketika berada di Padang Arafah semalam.

Neelofa turut berjanji untuk membaca kesemua doa peminat yang dikirimkan kepadanya sewaktu dia melakukan tawaf sunat.

Neelofa bersama ibu dan bapa tirinya berlepas ke tanah suci pada 5 September lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 21 September ini.