Begitu yang boleh diibaratkan Salih Tahar, 67, dan isterinya, Fatimah Mohd. Yatim, 64, terhadap anak mereka, Norlela Asmida, meskipun pelajar itu telah meninggal dunia.

Kedua-duanya hadir ke Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Inspektor Kor Suksis 2019 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok di sini, untuk mewakili Allahyarham Norlela Asmida.

Pelajar UiTM Muar, Johor, itu meninggal dunia akibat penyakit Acute Lymphoblastic Leukimia (ALL) pada 2 Januari lalu.

Sebelum itu, pelajar berkenaan disahkan mengidap penyakit berkenaan pada 3 September 2018 dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Atas minat dan semangat yang mendalam Allahyarham dalam dunia kepolisan, Norlela Asmida sempat menyuarakan hasrat agar diberi penghormatan terakhir oleh Kor Suksis UiTM Johor, sebagai mengenang jasanya yang memegang jawatan terakhir sebagai Setiausaha.

Terima pelantikan

Timbalan Pengarah Perancangan Strategik Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia, Datuk Sun Teoh Tia diundang bagi menyampaikan watikah kepada para penerima.

Dalam pada itu, seramai 285 orang mahasiswa dari UiTM Kampus Kelantan, Sabah, Perak, Kedah, Pahang, Melaka, Perlis, Sarawak dan Johor hadir di majlis berkenaan.

Ketua urusetia majlis itu, Mohamad Firdaus Johari berkata, Unit Kokurikulum Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Kedah telah dipilih menjadi tuan rumah bagi program penyampaian watikah tamat latihan Kor Suksis kali ini. - UTUSAN ONLINE