TABUNG ROHINGYA
 

Bagi lelaki itu, peristiwa yang berlaku pada 1988 tersebut merupakan titik hitam dalam hidupnya kerana menyebabkan dia kehilangan orang tersayang untuk selama-lamanya.

Menurut Abdul Rahim, dia berusia 22 tahun ketika itu sedang berehat selepas makan tengah hari di rumahnya di Arakan, Myanmar bersama-sama ibu bapa, 12 lagi adik-beradik serta iparnya sebelum pintu rumah diketuk kuat dan di­ceroboh tentera Myanmar.

“Kami sekeluarga sedang berehat ketika itu, tiba-tiba pintu diketuk kuat disusuli dengan 
suara bising di luar rumah. Tidak semena-mena rumah kami di–ceroboh tentera Myanmar.

“Kami tersentak akibat tindakan tentera itu dan orang perempuan menjerit ketakutan. Kami cuba melawan tapi apalah daya kami waktu itu. Kami diterajang sesuka hati seperti binatang, malah kesan akibat dipukul oleh tentera Myanmar parutnya masih ada di kaki dan di dahi saya.

“Saya tidak lupa bagaimana ibu dan bapa dibunuh kejam manakala kakak dan ipar-ipar perempuan dirogol tentera Myanmar. Sehingga kini saya tidak tahu macam mana nasib adik beradik yang lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Abdul Rahim yang merupakan anak bongsu daripada 13 beradik berkata, dia bersama isteri, Hazrah Nazil Ahmad dan anak sulungnya, Mohamad Yusup yang mana ma–sing-masing ketika ini sudah berusia 50 dan 32 tahun sempat melarikan diri ke dalam hutan sebelum ditahan pihak berkuasa Thailand tiga bulan kemudian.

“Semasa di hutan kami bertemu dengan pelarian lain yang ingin keluar dari Myanmar. Akhirnya kami semua tiba di Thailand dan ditahan di negara itu selama tiga tahun.

“Sepanjang dalam tahanan pihak berkuasa Thailand, kami hanya makan nasi kosong kerana lauk tidak halal untuk dimakan,” jelasnya yang ketika ini merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bersatu Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan menetap di Sungai Besar.

Tambah Abdul Rahim, sebaik sahaja dibebaskan di Thailand, dia dan beberapa rakan lain mengambil keputusan untuk ke Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan menaiki kereta api terus ke Johor Bharu.

“Di Malaysia, kehidupan kami jauh lebih aman dan dapat hidup dengan tenang. Di sini, saya dapat berniaga runcit secara kecil-kecilan untuk menyara hidup keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Hazrah Nazil menyatakan dia dipelihara oleh bapa dan ibu mertuanya itu sejak berusia lapan bulan sebelum dikahwinkan dengan Abdul Rahim ketika berusia belasan tahun.

“Saya pun tak tahu siapa ibu dan bapa saya sejak kecil. Kami tak tahu apa salah kami (Rohingya) sehingga dilakukan sebegini. Setiap hari ada sahaja penyeksaan dan pembunuhan yang dilakukan,” katanya.