Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, jika rakyat negara ini mahu masalah mat rempit di selesaikan, maka sebahagian besar jawapannya ada di tangan ibu bapa.

Jelasnya, tanpa ada pengawasan ibu bapa yang berkesan walau seberat mana pun undang-undang yang ada di negara ini, masalah itu tidak akan menyedarkan mereka, bahkan lebih berani terlibat dalam kegiatan ini.

“Saya percaya didikan dari rumah adalah asas kepada anak-anak remaja ketika ini. Kalau ibu bapa bermasalah, anak pula akan berantakan sehingga jiwa mereka memberontak.

“Bila jiwa memberontak, macam-macam boleh berlaku. Kononnya untuk mencari keseronokan bagi melupakan masalah. Tidak mustahil mereka terjerumus dalam kegiatan lumba haram kerana pengaruh rakan-rakan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Ditanya mengenai undang-undang sedia ada sama ada mencukupi atau tidak, Halim menjelaskan, perkara itu sudah memadai. Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan menyeluruh perlu dilakukan berterusan, bukannya berkala.

Beliau mencadangkan penguatkuasaan yang dibuat bukan terhadap mat rempit itu sendiri tetapi kepada penjaga atau ibu bapa mereka.

“Kita juga perlu melihat langkah yang diambil di negara luar dalam menangani masalah ini. Misalnya, penunggang motosikal secara berkumpulan tidak dibenarkan berada di jalan raya selepas pukul 10 malam,” jelasnya.