Yang Dipertua, Per­satuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk Azmin Mus­tam Abdul Karim berkata, program berkenaan memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang diminati seterusnya menjana pendapatan sendiri.

“PIMA adalah inovasi terbaik dalam sistem pendidikan di negara ini kerana memberi peluang kepada pelajar terpilih memaksimumkan bakat dan kemahiran yang dimiliki. Malah boleh melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir yang mempunyai nilai jati diri yang tinggi.

“Malah, setiap pelajar yang terlibat di sekolah ini juga dibantu oleh pihak PIBG dengan diberi insurans perlindungan ketika menjalani latihan di industri de­ngan jumlah caruman yang sangat rendah iaitu RM20 hingga RM30 setahun tetapi menikmati faedah yang besar,” katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah itu, Ahmad Ismail berkata, pada peringkat pertama pihak sekolah akan mencari industri bersesuaian yang boleh menawarkan latihan kemahiran.

“Selepas itu, barulah kita beri tawaran kepada pelajar terpi­lih dengan mengisi borang dan perlu menjalani temuduga bersama kaunselor sekolah untuk menjalani ujian psikometrik bagi mengenal pasti minat mereka.

“Kemudian selepas selesai semua peringkat saringan, barulah pihak sekolah akan memberi surat tawaran kepada pelajar yang terpilih mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Selepas melihat kejayaan pelaksanaan PIMA di sekolah perintis, SMK Bukit Rahman Putra, pihak Kementerian Pendidikan me­nyasarkan 20 buah sekolah menengah harian lagi menawarkan program itu pada tahun hadapan.