Titah baginda, ibu bapa perlu tingkatkan kefahaman tentang ‘cerebral palsy’ dan fakta-fakta penting berkaitannya membolehkan ibu bapa lebih memahami keadaan ini serta tahu apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan.


“Justeru, apabila ibu bapa dapat mengesan tanda-tanda awal dan simptom penyakit ‘cerebral palsy’ ini, mereka maka akan tahu tindakan sepatutnya,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy (SPASTIK) Pulau Pinang di Georgetown Pulau Pinang tengahari tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke kompleks tersebut buat kali ke dua selepas kunjungan pertama pada tahun 2014 yang lalu itu disambut oleh Presiden SPASTIK Pulau Pinang, Ng Fook On dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang, Shaballah Zainal Abidin.


Baginda diiringi oleh seramai 39 orang Pelajar Terbaik dan Cemerlang serta 60 orang Pengawas Terpilih tingkatan empat daripada kesemua sekolah-sekolah menengah negeri Perlis yang sedang menyertai program ‘Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self Esteem Development) di Pulau Pinang selama tiga hari bermula hari ini.


Program tahunan itu adalah anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


Bersempena lawatan tersebut, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan RM3,000 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis kepada SPASTIK Pulau Pinang.


Antara tindakan yang perlu diambil oleh ibu bapa anak cerebral palsy:


1. Dapatkan segera nasihat dan pemeriksaan daripada pakar perubatan.


2. Sediakan kelengkapan asas penjagaan anak-anak dengan cerebral palsy yang bersesuaian.


3. Dapatkan maklumat berkaitan pusat atau sekolah khas yang mampu membantu kanak-kanak dengan ketidakupayaan ini.


4. Sekiranya berkemampuan ibu bapa boleh mengupah pakar yang mahir dan pernah bekerjasama dengan kanak-kanak cerebral palsy.


5. Ibu bapa perlu sentiasa ingat bahawa rawatan yang betul adalah apabila anda sebagai ibu bapa menyediakan penjagaan dan sokongan yang sepatutnya kepada anak.


6. Pelajarilah asas-asas bagaimana untuk menjaga anak-anak dengan cerebral palsy ini dengan betul dan terbaik. - UTUSAN ONLINE