Fadillah Yusof

Beliau berkata, penguasaan teknologi boleh membantu ibu bapa untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang ber­teknologi tinggi.

“Dalam menyahut seruan ke­rajaan menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0, kita perlu lengkapkan diri dengan kemahiran teknologi. Pada masa yang sama, persiapkan anak-anak dengan ilmu teknologi agar mereka dapat menguasainya dengan baik untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keluarga Sakinah ‘Jalan Menuju Syurga’ di Klinik Kesihatan Petra Jaya di sini, hari ini.

Kira-kira 100 peserta me­nyertai seminar itu yang dianjurkan Persatuan Kebajikan Islam (PERKIP) Jabatan Kesihatan Ne­geri Sarawak dan Jawatankuasa Surai Klinik Kesihatan Petra Jaya.

Menurut Fadillah, kepesatan teknologi akan membawa banyak perubahan yang bakal mengubah cara hidup masyarakat pa­da masa akan datang.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa memantau anak-anak da­lam menguasai teknologi untuk mengelak mereka daripada terdedah kepada unsur ti­dak baik.

“Sebagai ibu bapa, jika kita mahir dengan teknologi masa depan, kita boleh mengawal serta mengehad­kan apa yang ingin kita kongsikan ke­pada anak-anak. Ja­ngan sampai kita leka ber­kongsi benda yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan hubungan sesama manusia,” katanya. – BERNAMA