Dia juga mahu dalang terhadap kejadian rusuhan itu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin kerana tidak dapat memaafkan perbuatan tersebut walaupun reda dengan pemergian Muhammad Adib.

“Tapi sekarang siapa nak mengaku kan (bunuh Muhammad Adib?” Soalnya sambil air mata bergenang.

Tidak banyak berbicara, Asma dilihat tetap kuat dan cuba melayani pertanyaan mengenai Muhammad Adib walaupun dia tahu tiada apa yang boleh menggantikan anaknya yang sepatutnya mengakhiri zaman bujang pada Jumaat ini.

“Saya tidak boleh tidur lena kerana asyik memikirkan Muhammad Adib dan hanya mampu meneguk air, malah sampai ke saat ini pun saya masih tak mampu mengunjungi kuburnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini.

ASMA Aziz
ASMA Aziz ketika ditemui dirumahnya hari ini.

Bercerita keperibadian Muhammad Adib, Asma berkata, anaknya seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa mendahului keluarga serta sering meminta pendapat dan restu sebelum melakukan sesuatu perkara.

“Apa-apa sahaja dia nak buat, pasti dia akan bertanya kami tapi dia memang seorang yang tidak banyak bercakap namun rapat dengan kami termasuk abang dan dua adik perempuannya,” kata Asma.

Seminggu sebelum kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Muhammad Adib juga pulang bercuti dan membawa Perodua Myvi yang dibeli untuk kegunaan ibu bapanya, manakala dia hanya menunggang motosikal untuk ke tempat kerja.

“Masa dia balik cuti, dia bawa balik kereta dan beritahu dia beli untuk ayahnya naik tapi ayahnya kata tak payah lah ayah dah ada kereta buruk ayah kalau nak pergi ke mana-mana.

“Malah, setiap kali musim menabur benih padi, Muhammad Adib akan cuba mengambil cuti pulang ke kampung untuk menolong ayahnya di bendang bersama adik-beradik lain kerana dia faham ayahnya pun sudah berusia” katanya.

Mengenai kejadian menimpa anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu, hanya satu permintaan Asma iaitu mahu melihat sendiri wajah penjenayah yang bertindak kejam membelasah anaknya sehingga meninggal dunia.

Dalam pada itu, majlis resepsi sebelah lelaki yang sepatutnya diadakan Ahad ini mungkin akan ditukarkan kepada kenduri arwah. -UTUSAN ONLINE