Asma Aziz, 52, berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan secara menyeluruh bagi menentukan punca kematian sebenar Allahyarham.


“Saya juga berharap sangat agar pelaku yang memukul anak saya sehingga mati dikenal pasti dan dikenakan hukuman setimpal. Individu yang menjadi dalang kepada rusuhan itu juga perlu dikenakan hukuman berat,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut di sini, hari ini.


Terdahulu, Asma dan suami, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 64, menerima kunjungan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin disusuli Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.


Tambah Asma lagi, dia dan suami mengunjungi kubur anak mereka setiap hari selepas selesai menunaikan solat subuh di Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau.


“Setiap hari saya tidak pernah lupa untuk mendoakan buat Muhammad Adib, tidak kira ketika berada di masjid mahupun di rumah,” ujarnya.


Dalam kejadian pada 27 November tahun lalu, Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya kritikal selepas dibelasah sekumpulan perusuh ketika tiba di kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafields, Subang Jaya bagi memadamkan satu kebakaran kereta.


Namun selepas 21 hari dirawat, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam, 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur akibat kecederaan dalaman dialaminya. - UTUSAN ONLINE