Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali sendiri mengakui tidur beliau terganggu kerana memikirkan perkara tersebut.

"Perkasa sangat terasa dan terkesan dengan kes Muhammad Adib ini. Selagi kes Muhammad Adib ini tidak selesai mengikut undang-undang, Perkasa tidak akan berdiam diri.

"Kita sendiri terganggu. Saya sebagai Presiden Perkasa terganggu. Ada kalanya saya tak boleh tidur terkenangkan Muhammad Adib dan keluarganya," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib bermula semalam di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mengulas lanjut, Ibrahim turut berkata, kegagalan kerajaan mengurus kes Muhammad Adib boleh menyumbang kepada kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

"Saya beritahu secara terus-terang, jika kes Muhammad Adib ini tidak selesai, (ada yang) tidak puas hati mengikut pandangan rakyat, sama ada semasa didakwa nanti (atau) hasil inkues, kalau tak dibuat dengan telus dan sepatutnya, saya cukup yakin kes ini saja, terutama dalam kalangan orang Melayu, boleh membawa kepada kejatuhan PH.

"Saya nak beritahu secara terbuka, saya percaya orang Melayu akan bersatu," katanya. - UTUSAN ONLINE