Pengiktirafan itu dianugerahkan kepadanya bagi menghargai sumbangan besar beliau ke­­pada pembangunan UiTM selain dianggap sebagai tokoh yang mempunyai pemikiran tajam dengan ciri-ciri kepe­mimpinan berkesan.

Ibrahim yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulai, Serkam, Melaka itu tidak asing lagi dengan UiTM kerana beliau merupakan Naib Canselor Kedua universiti itu bagi tempoh sembilan tahun bermula pada 1 Januari 2001 dan bersara pada 31 Disember 2009.

Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Ibrahim ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka dianugerahkan gelaran sebagai Profesor Emeritus berikutan telah meninggalkan universiti berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Ibrahim berkata, sepanjang berkhidmat sebagai Naib Canselor, beliau sentiasa me­ne­rap­kan tiga konsep terhadap pelajar UiTM iaitu mesra alam, ilmu dan insan supaya mereka menjadi produk universiti yang hebat.

“Kita tidak mahu UiTM mundur kerana universiti ini mempu­nyai potensi dalam pelbagai bidang. Namun, untuk memajukannya memerlukan kerjasama semua iaitu pensyarah, pelajar dan kakitangan sendiri serta tidak menjadikan kepentingan peribadi sebagai asas perjuangan.

“Malah, saya percaya UiTM di bawah bimbing­an Naib Canselor ketika ini, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said, mampu melonjakkan lagi nama universiti ke peringkat antarabangsa dengan lebih cepat berdasarkan pengalaman yang ada padanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Istiadat Konvokes­yen UiTM Ke-87 kali ini menyaksikan seramai 26,417 pelajar akan menerima diploma dan ija­zah ma­sing-masing di 12 kampus utama serta cawangan universiti itu bermula hari ini hingga 14 November ini.

Daripada jumlah itu, seramai 71 pelajar dianugerahkan ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana (1,286), diploma lepasan ijazah (82), ijazah sarjana muda (10,639), 14,298 (diploma) manakala peringkat sijil profesional 41 orang.

Dalam sidang pertama istiadat yang berlangsung hari ini, seramai 514 graduan menerima ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam bidang masing-masing yang disempurnakan Pro-Canselor UiTM, Tun Ahmadshah Abdullah.

Sementara itu, Ahmadshah ketika berucap menyarankan supaya UiTM terus memainkan peranan dengan me­ning­katkan penyelidikan, inovasi, pengumpulan dan pemeliharaan ilmu pendidikan sains dan teknologi, sains sosial serta pengurusan dan perniagaan.

“Kecemerlangan ini yang akan memberi nilai tambah dalam meletakkan kedudukan UiTM sentiasa diperbaiki menjadi lebih baik dari tahun ke tahun sekali gus mengangkat imej universiti di persada dunia,” katanya.