Beliau berkata, proses pemulihan sedang berjalan dengan baik dalam negara ketika ini, dan ekonomi negara pastinya akan pulih nanti.

"Pemulihan penuh mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya, tapi saya harap dalam tempoh setahun atau dua tahun kita boleh tetapkan asas pemulihan buat Malaysia,’’ katanya semasa berucap dalam sesi dialog bersama komuniti Malaysia di sini, sebelum sesi soal jawab bersama para hadirin.

Perdana Menteri berkata, Malaysia ketika ini bagaikan 'harimau separuh nyawa’, namun beliau tetap optimis satu hari nanti ia akan kembali mencapai kegemilangan sebagaimana sebelum ini.

Katanya, beliau percaya kepada barisan menteri yang baharu dilantik, walaupun ada kalangan mereka tidak pernah menjadi anggota pentadbiran kerajaan, dan sesetengahnya mengaku bagaikan berada dalam keadaan 'gayat’.

"Saya harap nanti tiba masa­nya kerajaan kita akan dapat menangani semua masalah yang dihadapi negara. Dari segi jentera pentadbiran saya rasa kita sudah sampai ke tahap yang baik, walaupun mereka masih baharu, mereka cepat belajar. Saya menaruh kepercayaan kepada keupayaan mereka untuk berkhidmat dengan baik sebagai menteri dalam kerajaan baharu,’’ katanya.

Dr. Mahathir berkata, masalah pertama yang perlu ditangani oleh kerajaan baharu adalah untuk menyelesaikan soal hutang negara yang berjumlah lebih RM1 trilion yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

"Kita belum pernah dengar perkataan trilion sebelum ini, tapi sekarang dah jadi perkataan biasa, ia adalah jumlah wang yang kerajaan hutang, yang perlu kita bayar, sukar untuk cari wang untuk bayar hutang ini,’’ katanya yang berada di Thailand untuk lawatan rasmi dua hari.

"Kita pernah ada satu dana, dinamakan Tabung Harapan yang mana orang ramai boleh menderma, tapi kita tidak mahu dilihat seolah-olah menerima 'hadiah' daripada orang ramai, sebab kerajaan ini amat serius dalam membanteras rasuah dalam kerajaan,’’ katanya. – BERNAMA