Timbalan Ketua Pengarang Kum­pulan Utusan, Datuk Othman Mohamad berkata, penerbitan Utusan Pelajar itu selaras dengan perubahan sistem pendidikan negara yang tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Beliau berkata, akhbar pendidikan itu turut menekankan pendekatan kolaboratif dan ko­­­­peratif antara murid-murid dalam melaksanakan pembelajaran berasaskan projek.

“Utusan Pelajar mula diterbitkan pada 13 Ogos 1970 hingga 1992 secara bulanan dengan tujuan menyumbang seluas-luasnya pe­ngetahuan pendidikan agar ibu bapa dan murid tidak ketinggalan.

“Walau bagaimanapun, tahun ini kita menjenamakannya semula selaras dengan perubahan sistem pendidikan negara iaitu menepati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mengutamakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT),” katanya dalam majlis pelancaran Utusan Pelajar peringkat Kebang­saan di sini hari ini.

Utusan Pelajar yang merupakan akhbar pendidikan PAK-21 di sekolah rendah dan menengah bersifat modular, merentas subjek serta kurikulum.

Terdapat dua pendekatan PAK-21 yang diketengahkan iaitu Modul 10 Minit Perhimpunan Sekolah yang menggalakkan pe­nyertaan keseluruhan pelajar untuk pengisian aktiviti kolaboratif dan koperatif.

Pendekatan kedua pula adalah Bahan Rangsangan PAK-21 iaitu pembelajaran berbimbing yang berorientasikan pendekatan Bloom Revisi Anderson serta menerapkan elemen-elemen KBAT menerusi pembelajaran berasaskan projek.